TERKINI

Thursday, June 28, 2012

Makluman Perlantikan Ketua Hisbah DPMZ Yang Baru


DPMZ memaklumkan kepada seluruh warga Zagazig bahawa jawatan Ketua Unit Hisbah telah mengalami pertukaran. Jawatan tersebut yang disandang oleh Saudara Abdul Hadi Mohd Zuki telah digantikan oleh Saudara Muhamad Zul Azri Bin Zainal. Beliau sebelum ini menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Unit Hisbah pada sesi ini. Sehubungan dengan itu, DPMZ berharap seluruh ahli dapat terus memberikan kerjasama kepada Unit Hisbah DPMZ supaya konsep "amar makruf nahi munkar" dapat diterapkan dalam hidup kita. Beliau boleh dihubungi di talian 011-16500278

Tuesday, April 27, 2010

Artikel Hisbah : Best Ke Couple?


BEST KE ‘COUPLE’?

Ada orang yang dah berhenti bercouple. Saya, secara peribadi mengucapkan tahniah. Bukan mudah hendak mengikut arahan Allah SWT dengan mengenepikan kehendak nafsu diri. Saya, amat respect dengan orang yang berjaya ini.

Saya ketahui, masa-masa indah semasa bercouple pastinya membaluti hari-hari selepas meninggalkannya. Dulu bergayut-gayut dekat telefon, sekarang dah tak. Dulu keluar makan tengok wayang sesama, sekarang dah tak. Dulu sms-sms, sekarang dah tak. Jadi, mesti rasa ada kekurangan.

Artikel ini, saya tulis khas untuk anda yang telah berjaya meninggalkan couple, tetapi terbalut dengan 1001 perasaan yang mungkin membuatkan anda ingin kembali kepada perbuatan itu.

Bukan mengharamkan cinta

Persoalan-persoalan yang mencucuk mereka yang meninggalkan couple, mereka akan mengingat bahawa mereka ini mengharamkan cinta mereka. Ya, cinta mereka suci, ikhlas.

Di sini, ketahuilah bahawa, kita tidak mengharamkan cinta. Tidak salah menyukai lelaki atau perempuan. Cuma di sini, kita mahu jalan yang Allah redha. Bukannya kita break up. Kalau suka, betul-betul cinta, teruskan. Cuma teruskan di atas jalan yang Allah redha.

Sebenarnya, kalau betul-betul suka, cakap suka. Pergi confess pada mak ayahnya. Yang perempuan, minta lelakinya bergerak cepat sikit, bagitahu mak ayah. Tunang dulu ke kalau rasa lambat lagi nak kahwin. Tunjukkan keseriusan anda.

Selepas tu, nak dating, sila la dating dengan keluarga. Bukan tak boleh. Keluarga lelaki, keluarga perempuan, pergi keluar makan sama-sama. Kalau rindu, pergi ziarah rumah. Cakap kat keluarga perempuan, kata nak datang. Yang perempuan, kalau rindu sangat, cucuk-cucuk la mak ayah suruh ziarah.

Tak ada masalah. Cinta bukan diharamkan. Teruskan. Sila teruskan. Cuma sekarang ni, kita nak cinta kita diredhai Allah. Kalau nak Allah redha, takkan kita nak calarkan cinta kita dengan perkara yang Allah murka? Islam ada bagi cara, kita guna cara yang Islam bagi.

Rindu sangat

Ini satu lagi fenomena biasa terjadi. Ya la, dulu hari-hari jumpa, ada event apa-apa mesti bersama. Mesti la ada memori-memori indah.

Rindu ni lumrah orang berjauhan la. Lagi rindu, lagi bertambah sayang. Tahan sikit je kalau serius nak kahwin. Dan macam saya cakap tadi, bukan tak boleh jumpa langsung. Ajak la keluarga ziarah ke, ajak keluarga keluar makan ke, atur la elok-elok. Bukan haram jumpa langsung.

“Rindu sangat ni, rindu sangat sampai nak jumpa dua-dua”

Aha… Best perasaan ni. Apa kata, kita tahan rindu kita dua tiga tahun, kemudian duduk la dua-dua sampai mati. Ah.. bukan sampai mati, maaf, sampai ke syurga, selama-lamanya. Ya la, bila kita bangunkan cinta kita atas apa yang Allah redha, pastinya kita akan mendorong diri kita dan pasangan kita ke syurga-Nya.

Susah-susah sangat, kahwin. Buat apa la tunggu lama-lama, main rindu-rindu jauh ni.

Kalau ada kekangan untuk berkahwin, sabar. Cuba selesaikan apa yang mengekang anda dari berkahwin itu. Sementara itu aturlah cara yang syara’ untuk berjumpa. Tak ada masalah.

Ingat Allah

Ada orang, dia meluat kalau kita pesan kat dia supaya dia ingat Allah SWT.
Tapi saya nak kata apa? Kalau kita tinggalkan couple kerana Allah, nak dapat redha Allah, maka bila kita rasa nak kembali kepada couple, kita kena ingat Allah SWT yang menjadi matlamat kita meninggalkan couple tadi.

Allah ni, tak ada la zalim. Kita ni je yang zalim diri kita. Allah, Dia nak bagi kita sama-sama dengan pasangan kita sampai ke syurga, selama-lamanya bersama. Tapi, kita tak sabar, kita zalim pada diri kita, lantas kita dengan pasangan kita,paling lama pun sampai mati, kemudian di akhirat, terpisah-pisah. Apa best?

Allah halang kita dari dekati zina, bukan suka-suka. Kita dah nampak hari ini, lambakan anak luar nikah. Kita nak ke macam itu?

“Kami couple je bang, mana ada apa-apa”

Ya. Hari ini. Semalam. Esok siapa tahu? Kalau melintas jalan pun kena tengok kiri kanan takut dilanggar, berhati-hati, lagi la dalam hal masa hadapan dan kekeluargaan. Kena perhatikan semua benda. Tak kesian ke dengan baby? Ni bercinta betul ke, main-main?

Kena serius la

Nak istiqomah tinggal couple ni, selain melihat kembali niat kita, kita kena serius la tinggal tu. Nak serius tinggal, kita kena ada beberapa perkara lagi kita kena serius:

1. Serius nak dapat redha Allah.
2. Serius nak bercinta dengan betul.
3. Serius nak bina masa hadapan dengan baik.
4. Serius jaga maruah dan harga diri.
5. Serius segala perkara.

Saya rasa, kalau kita mendalami 1-5 ni, kita akan istiqomah untuk tidak bercouple, dan meninggalkan couple. Kalau serius la. Kalau tak serius, memang la kita nak buat.

Ya la, kalau serius nak dapat redha Allah, kenapa buat benda yang Allah tak suka?

Kalau serius nak cinta betul-betul, kenapa memurahkan cinta kita?

Kalau serius nak membina masa hadapan dengan baik, kenapa tak boleh berdisiplin dan bertahan sedikit?

Kalau serius nak menjaga maruah dan harga diri, kenapa kita pula macam promosi diri kita agar maruah dan harga diri kita tercalar?

Kalau lah kita ini serius dalam semua perkara, kita betul-betul nak hidup dengan baik, kenapa kita dedahkan diri kita dari kehancuran?

Jangan tunggu kita dah tersilap, baru kita nak cakap: “Aiseh, dulu ada dah orang tegur aku, kenapa aku tak dengar?”

Yang dah tinggal couple tu, tak payah kembali la. Fikir-fikir balik, anda sudah berjaya, kenapa anda hendak menggagalkan diri anda semula?

Kalau betul kita serius, kita akan usaha. Tak ada bagi alasan-alasan. Sebab itu, yang saya cakap dalam Bukan Mengharamkan Cinta, Rindu Sangat, dan Ingat Allah itu, hanya yang betul-betul serius sahaja yang boleh buat. Yang main-main, bye-bye la.

Penutup: Teruskan kejayaan anda

Bagi yang tak bercouple, atau dah tinggal couple, teruskan kejayaan anda. Bagi yang masih bercouple, tak mengapa, perlahan-lahan usaha tinggal. Jangan risau. Saya tidak menyisihkan anda. Cuma saya mengingatkan sahaja. Kita ni manusia, mana tahu apa nak jadi pada kita. Sebab itu orang pandai kata: Mencegah lebih baik dari mengubati. Cegah, penyakit tu tak kena pada kita. Mengubati, penyakit tu dah kena pada kita. Ada bezanya ya.

Fikir-fikir la. Couple ni asasnya apa? Cinta? Ya ke cinta? Ke lebih kepada seronok-seronok nak happy-happykan diri sendiri sahaja?

Bukan la tak couple maksudnya tak cinta. Cinta anda, tidak gagal dengan tidak bercouple.

Jangan susah hati. Kata nak redha Allah. Tahu tak bahawa, cinta tu, Allah yang cipta?

Teruskan kejayaan anda. Kejar redha Allah dalam semua lapangan. Belajar, kerja, hatta cinta.

sumber : ILuvIslam

Tuesday, March 30, 2010

DIA TAKDIRMU DI SYURGA




HATI  manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal separa waras. Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu. Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu, berubah.

Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. Tabi-‘e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bisa mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan, mengaji mengurus dan sebagainya. Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.

Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan. Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh. Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara. Kita kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.

Kita mesti selalu jadi baik, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. Cinta yang dicari baik, tetapi cinta yang ditemui lebih baik lagi. Keluarga ibarat sebuah negara, suami ialah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng. Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.

Perkahwinan yang sempurna bukanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syari-‘at aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita bermula, tetapi lebih penting di mana kita akan berakhir.

Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah...” rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga.

Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.

Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan. Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan ini dan itu.

Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa. Tidak boleh menjadi idealistik. Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran. Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tapi juga satu rasa, satu tanggungjawab. Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama.

Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkan pasangan lain. Usia perkahwinan juga akan melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.

SEBELUM KAHWIN

Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik. Maka segalanya dilakukan dengan usaha dan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalau umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik.

Allah Taala berfirman, bermaksud: “...perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)” an-Nur (24:26)

Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila, tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali pada perwatakan sebelumnya.

Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahajjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat soleh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.

Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah satu ini;

Allah Taala berfirman, bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan...” an-Nisaa’ (4:34)

Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk melahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni. Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik.

Seorang lelaki menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminin.

Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh suami, manakala isteri juga menyukai suaminya sekali sekala buat kerja rumah dan memasak untuk keluarga. Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.

Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini. Rasulullah s.a.w dalam kesibukannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusaha untuk menjadi seperti baginda.

Saya tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cinta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah rasa tidak mampu, maka jauhilah maksiat cinta.

Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu. Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin.

Sanggupkah kalian bercinta?




SELEPAS KAHWIN

Kehidupan adalah realiti yang memotretkan pelbagai palitan warna emosi, suka duka sebagai diari dibaca, dicermati pada hari muka, hal baik-baik sudah pasti diulang dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Kehidupan adalah lautan yang dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan, membawa pelbagai cuaca, sudah pasti memberi kesan membekas di hati manusia. Hati manusia ibarat sebuah sampan kecil yang dipaksa berlayar dalam lautan luas. Mahu atau tidak, manusia perlu benar-benar memahami, belajar dari lautan kehidupan sebaik sahaja mereka membuka mata, dan bersedia memulakan pelayaran. Suri teladan para pelayar sudah ada di hadapan kalian, tinggal lagi kalian memilih cara mereka atau membentuk kaedah pelayaran tersendiri berdasarkan pengalaman mereka.

Pelayar terbaik, tidak lain dan bukan adalah baginda s.a.w.

Cinta itu bukan alasan utama untuk dapat bahagia, kerana ramai juga bercerai kerana cinta.

Ramai orang bercinta bagai hilang ingatan, tapi bercerai berai juga. Ramai yang kahwin suka sama suka, tapi rumahtangga kecoh. Ini bukan soal cinta atau suka. Ini soal sejauh mana kebergantungan suami isteri pada Allah Taala dalam setiap urusan, Sejauh mana mereka sepakat dalam mencari berkat dalam rumahtangga. Dengan kehendak Allah sahaja, rumahtangga akan berjaya dan bahagia. Pohonlah kebaikan pada-Nya, serta terus menerus menjadi baik.

Andai ombak kuat melanda bahtera, jangan disangka tiada harapan dapat berlabuh dengan selamat. Ingatlah semakin kita diuji, itu tandanya kasih sayang Allah Taala kepada kita dan Dia tidak akan membebankan hamba-Nya melainkan sesuai dengan apa yang daya kekuatan.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” al-Baqarah (2:286)

Makin banyak kita diuji, makin dekat kita kepada-Nya dan semakin matang dan penuh hikmah kita menyelesaikan sebarang masalah dengan kaedah terbaik, dipersetujui bersama.

Bersabarlah para isteri dengan suami yang kebanyakannya akan diam dalam membatu, dan bersabarlah para suami dengan leteran dan bebelan para isteri yang adakalanya untuk menyedarkan anda. Dialah satu-satunya insan yang terbaik untuk diri kalian, bukan kedua, bukan ketiga. Berusahalah melengkapi kekurangan antara satu sama lain dengan segala kelebihan dan kebaikan pada diri masing-masing. Bukannya untuk meruntuhkan masjid yang dibina dan memisahkan ikatan yang terjalin. Carilah salah sendiri kenapa tidak mencari yang kurang baik tapi bisa diasuh menjadi baik.

Rumahtangga bahagia, bukan bahagia cukup material dan keperluan jasmani bahkan keperluan rohani. Maka bercintalah kalian sepuas-puasnya, kerana kalian adalah halal bagi pasangan. Setiap hembusan cinta kalian, pasti berbuahkan pahala di kebun cinta Ilahi di taman syurga nanti. Bukankan ironi sangat aneh, bercinta sebelum kahwin lebih hebat berbanding bercinta selepas akad, jelas sekali kalian hipokrit.

Kenapa perlu mengembalikan cinta?

Saya merasakan setiap manusia itu entitled dan deserved untuk hidup dalam tenang dan bahagia. Hidup tanpa cinta ibarat burung yang terbang dalam sangkar. Selagi ada ruang untuk bercinta, maka sirami dan bajailah cinta itu. Cinta selepas Ijab dan Qabul, sesungguhnya mampu untuk diluahkan dan masih ada untuk dihadiahkan bersama.

Selepas kahwin anda tetap sebagai nakhoda. Nakhoda kepada para kelasi di bawah tanggungan anda. Baik buruk kesudahan perjalanan mereka berada di tangan kalian. Prinsip dan paradigma utuh sahaja akan selamat mengemudi badai dunia.

Friday, February 19, 2010

Hisbah PMRAM : Amar Makruf Nahi Munkar Diteruskan


Kaherah, 14 Februari - Salah satu resolusi yang telah dipersetujui ketika Konvensyen PMRAM 2009 semakin menjadi realiti apabila pihak Unit Hisbah PMRAM bersama-sama dengan jawatankuasa Unit Hisbah serta beberapa orang Badan Pengurus PMRAM termasuk Presiden PMRAM, Saudara Abdul Mu'izz terlibat dalam Operasi Valentine Day (Ops Valentine) malam tadi yang dianjurkan oleh Unit Hisbah PMRAM.

Wednesday, February 18, 2009

Pemakaian Wanita : Aurat Muslimah

Unit Hisbah DPMZ & Pelaksanaannya

Wednesday, December 24, 2008

Masyru'iyyatul Al-Hisbah


Sesungguhnya pengutusan para Nabi-nabi dan Rasul-rasul oleh Allah adalah antara lainnya untuk ditaklifkan ke atas mereka tugas dan tanggungjawab menegakkan yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran, maka menjadi tanggungjawab yang besar bagi umat manusia melaksanakan tugas menegak ma'ruf dan mencegah yang mungkar. kenyataan di atas menunjukkan betapa perlunya diberi keutamaan dalam melaksanakan tugas-tugas hisbah.